Kenali Ulama ...

Assalamualaikum,Alhamdulillah.Baca ni,kisah keterbukaan Ulama dalam menerima pendapat dan berlapang dada dalam hal-hal berkaitan agama.Benarlah akhlak ulama warisan para Nabi!


Kisah ini ambo petik dari blog ustaz Mohd Khafidz –
Sawanih wa Khawathir, dan ambo olah sedikit dengan penambahan notakaki (pengenalan ringkas kepada Syaikh 'Abdul Fattah Rawah, Sayyid 'Alawi bin 'Abbas al-Maliki dengan Syaikh 'Abdur Rahman bin Sa'di). Kisah yang diceritakan oleh Syaikh ‘Abdul Fattah Rawah al-Makki [1] di dalam kitab Tsabatnya. Kisah yang memaparkan akhlaq para ulama dan keakuran mereka terhadap sesuatu kebenaran apabila ianya sudah nyata. Kisah ini berlaku diantara dua orang ulama besar, iaitu Sayyid ‘Alawi bin ‘Abbas al-Maliki al-Hasani [2] dan Syaikh ‘Abdur Rahman bin Sa’di [3].

Kisahnya begini ......

Suatu ketika Sayyid 'Alawi al-Maliki duduk dalam halaqahnya di Masjidilharam, dan sedang duduk di suatu sudut lain Syaikh 'Abdur Rahman as-Sa'di, pengarang sebuah kitab tafsir. Orang ramai pula sedang bersholat dan bertawaf. Dan di langit awan mendung sedang berarak. Kemudian hujan pun turun. Air hujan yang turun di atas Kaabah mengalir keluar melalui saluran mizab [pancuran emas]. Lantas ramai orang bergegas ke bawah mizab tersebut untuk mendapatkan air daripadanya. Lalu mereka membasahkan baju dan badan mereka dengannya sebagai mengambil berkat.

Melihat hal itu, sekumpulan ‘orang badwi’ [faham-faham sajalah no sapa depa tuu ….tau takpa ... tak tau tanya ...] menegah mereka kerana menyangka ianya adalah syirik. Kata mereka: “Jangan, wahai orang-orang musyrik. Syirik! Syirik!". Lalu semua orang pun beredar dan menuju ke halaqah Sayyid 'Alawi. Mereka bertanya tentang perkara tersebut, dan beliau mengharuskannya. Lantas orang ramai pun pergi sekali lagi ke mizab tersebut. 'Orang-orang badwi' tadi pergi kepada halaqah Syaikh 'Abdur Rahman dan mengadu kepadanya. Lantas beliau pun bangun pergi bertemu dengan Sayyid 'Alawi. Maka ramai orang berkumpul kepada dua orang ulama tersebut.

Kata Syaikh ‘Abdur Rahman: Betulkah tuan mengatakan kepada orang ramai bahawa dalam air hujan tersebut ada barakah?

Jawab Sayyid ‘Alawi: Bahkan, ada dua barakah.

Balas Syaikh ‘Abdur Rahman: Bagaimana demikian?

Jawab Sayyid ‘Alawi lagi: Kerana Allah Ta'ala berfirman dalam kitab-Nya mengenai hujan (ونزلنا من السماء ما ء مباركا) - Dan Kami turunkan daripada langit air yang diberkati [surah Qaaf:9] - dan mengenai Kaabah pula (إن أول بيت وضع للناس للذي ببكة مباركا) - Sesungguhnya rumah pertama Allah yang dibina untuk manusia ialah yang berada di Makkah lagi diberkati [surah Aali ‘Imran: 96] -. Maka sekarang terkumpul dua barakah; barakah air hujan dan barakah baitullah ini.

Mendengar itu, Syaikh ‘Abdur Rahman merasa takjub: Subhanallah! Bagaimana kami boleh lupa hal ini? Lalu beliau pun berterima kasih kepada Sayyid 'Alawi dan meminta izin untuk beredar.

Lantas kata Sayyid 'Alawi: Nanti dulu, wahai Syaikh, tidakkah kamu lihat ‘orang-orang badwi’ itu menyangka bahawa apa yang dibuat oleh orang ramai itu sebagai syirik? Mereka tidak berhenti mengkafirkan orang dan melontar mereka dengan tuduhan syirik, sehingga melihat orang yang seumpama tuan [beliau adalah merupakan tempat rujuk mereka yang fahaman Wahabi atau dengan kata lain ulama mereka] yang dapat menegah mereka. Pergilah ke mizab dan ambil air hujan tersebut di hadapan mereka agar mereka membiarkan orang ramai. Kemudian Syaikh ‘Abdur Rahman pun pergi ke mizab dan mengambil sendiri air hujan itu sebagai mengambil berkat. Akhirnya ‘orang-orang badwi’ tadi meninggalkan orangramai setelah melihat syaikh mereka berbuat demikian. - Tamat kisah.


Menarik blog ni...

http://al-fanshuri-kenaliulama.blogspot.com

Insya-Allah jika tak silap,rabu ni 7/10/2009 Syaikh Ahmad Syaikh Muhammad Al-Alawi Al-Maliki akan buat kunjungan ke Kelantan. Pagi di KIAS,Tgahari ramah mesra dengan Exco2 Kerajaan Negeri Kelantan dan Menteri Besar.

Petang pula pada pukul 3.45ptg Al-Fadhil akan bertolak ke Pondok Pasir Tumboh ...
kalau salah mohon perbetulkan..

Daripada Abu Darda رضي الله عنه katanya: Aku mendengar Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (maksudnya): Para ulama itu adalah pewaris Nabi. Sesungguhnya Nabi tidak mewariskan wang dinar dan tidak juga wang dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambil ilmu maka dia telah mengambil habuannya yang amat bernilai. Oleh itu matinya seorang yang alim adalah satu musibah yang sukar digantikan dan satu kepincangan yang susah ditutupi. Ini adalah umpama bintang yang hilang sirna (diantara bintang-bintang). Sesungguhnya matinya satu kabilah adalah lebih ringan musibahnya berbanding matinya seorang yang alim ( Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidhi, Ibn Majah dan al-Baihaqi)


Di dalam sebuah hadits yang lain riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr bin Ash رضي الله عنهما:

Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu dengan (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) hamba-hambaNya. Tetapi Allah Ta’ala menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama sehingga apabila tidak tertinggal satu orang alimpun, manusia akan menjadikan pemimpin-pemimpin dari orang-orang yang bodoh, maka tatkala mereka ditanya (tentang masalah agama), lalu mereka akan berfatwa tanpa ilmu, akhirnya mereka sesat dan menyesatkan. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidhi dan Ibn Majah)

No comments:

Followers